KERTAS PERCUBAAN SEJARAH SPM PERAK 2022 (SOALAN 1-4 STRUKTUR)

 



1. Undang-undang di Melaka.


(a) Apakah kandungan kedua-dua undang-undang di atas. [2 markah]

Jawapan

Hukum Kanun Melaka mengandungi 44 fasal. Antaranya membincangkan perbuatan jenayah dan membincangkan peranan sultan dan pembesar. Hukum Kanun Melaka turut membincangkan peranan sultan dan pembesar dan membincangkan isu kekeluargaan .Seterusnya undang-undang di Melaka turut menyentuh tentang ekonomi.
    Manakala undang-undang laut Melaka pula membincangkan peranan nahkhoda dalam sesebuah pelayaran dan hukuman jenayah di atas kapal.Turut disentuh ialah berkaitan sistem percukaian.

(b) Mengapakah undang-undang tersebut diperkenalkan? [4 markah]

Jawapan
Undang-undang di atas diperkenalkan bagi menjadikan Kesultanan Melayu Melaka sebuah kerajaan yang terkenal. Hal ini penting kerana undang-undang di atas dapat menjamin pemerintahan yang lancar dan cekap sekaligus memastikan keselamatan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
    Undang-undanag yang diperkenalkan turut mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat serta menjamin kesetiaan kepada pemerintah. Keadaan ini sudah pasti mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

(c) Pada pendapat anda, apakah yang akan berlaku sekiranya rakyat di negara kita tidak mematuhi undang - undang?

Jawapan
Pada pendapat saya,sekiranya rakyat di negara kita tidak mematuhi undang-undang maka imej negara akan merosot. Hal ini akan mengakibatkan kejatuhan ekonomi negara dan proses pembangunan negara tidak berjalan lancar. Kesannya pelabur luar mulai hilang keyakinan terhadap masa depan pelaburan mereka di negara ini.
    Sekiranya rakyat di negara kita tidak mematuhi undang-undang, kadar jenayah juga akan turut meningkat dan hal ini pastinya akan menyebabkan suasana negara menjadi tidak harmoni dan sejahtera.Kesannya mungkin akan menyebabkan pergaduhan sesama rakyat.


2. 

(a) Nyatakan dua faktor penentangan penyerahan Sarawak kepada British [2 markah]

Jawapan
Dua faktor penentangan penyerahan Sarawak kepada British ialah Tindakan Vyner Brooke yang bertentangan dengan Perlembagaan 1941.Seterusnya Vyner Brooke telah bertindak mengenepikan surat wasiat Charles Brooke dan tindakan Gerard T Mac Bryan yang menggunakan muslihat.

(b) Mengadakan demonstrasi dan meletakkan jawatan beramai-ramai merupakan antara bentuk penentangan dan bantahan yang dilancarkan oleh penduduk tempatan di Sarawak. Jelaskan bentuk penentangan dan bantahan di atas. [4 markah]

Jawapan
Antara bentuk penentangan dan bantahan yang dilancarkan oleh penduduk tempatan Sarawak ialah meletakkan jawatan beramai-ramai. Hal ini kerana tindakan British yang memberikan amaran kepada pemimpin anti penyerahan yang terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam dan guru. British telah melarang pegawai awam menyertai gerakan anti penyerahan.Namun demikian seramai 409 kakitangan kerajaan meletakkan jawatan pada 2 April 1947 dan seramai 56 orang pelajar Maktab Perguruan Melayu Sarawak bertindak menamatkan pengajian.
    Penduduk tempatan Sarawak turut mengadakan demonstrasi ketika kedatangan Gabenor Pertama Sarawak, Charles Arden Clarke. Demonstrasi ini diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah di Astana. PKMS turut mendesak British berundur dari Sarawak melalui tayangan poster dan sepanduk dengan penyataan "Sarawak adalah hak kami", "Leburkan Kolonial", dan "No Cession".

(c) Pada pendapat anda, mengapakah gerakan anti-penyerahan Sarawak tidak berjaya? [4 markah]

Jawapan
Pada pendapat saya, gerakan anti-penyerahan Sarawak tidak berjaya kerana penentangan tidak disertai oleh semua kaum di Sarawak. Hal ini berlaku kerana terdapat penduduk yang menyokong penyerahan Sarawak. Tindakan British yang mengambil tindakan tindakan untuk melemahkan kebangkitan penduduk telah dilakukan melalui pengeluaran Pekeliling No. 9 1946  (Circular no 9) yang melarang pegawai perkhidmatan awam daripada terlibat dalam gerakan anti penyerahan.
    Selain itu, British turut menindas gerakan anti penyerahan dengan menutup pejabat PPM, PKMS,BPS dan Angkatan Semangat Anak Negeri Sarawak (ASAS). British juga telah menjatuhkan hukuman gantung terhadap pemimpin Rukun 13 yang terlibat dengan peristiwa Sungkit Berdarah yang dipimpin oleh Rosly Dhoby, Morshidi Sidek, Awang Rambli dan Bujang Suntong. Anggota yang lain telah dijatuhkan hukuman penjara.


3. Berikut adalah sarangkap pantun berkaitan kedaulatan negara.

Bunga Raya di dalam dulang,
Daunnya pula dimakan ulat,
Rakyat dibela pemimpin dijulang,
Malaysia merdeka kekal berdaulat.

(a) Apakah yang anda faham dengan " Malaysia Merdeka Kekal Berdaulat" [2 markah]

Jawapan
Maksud Malaysia Merdeka Kekal Berdaulat ialah Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas dan tidak lagi dijajah sejak 31 Ogos 1957. Hal ini kerana Malaysia mempunyai hak untuk melaksanakan pemerintahan sendiri melalui pengamalan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Selain itu kedaulatan negara dibuktikan melalui kewujudan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada perundangan negara serta mempunyai kuasa tertinggi yang diketuai oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam menguruskan pentadbiran negara.

(b) Jelaskan peranan rakyat dan pemimpin untuk mengekalkan kedaulatan negara.

Jawapan
Antara peranan rakyat dan pemimpin untuk mengekalkan kedaulatan negara ialah dengan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Hal ini kerana rakyat dan pemimpin bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan negara terjamin melalui pelaksanaan pemerintahan yang cekap, pembahagian hasil kekayaan negara yang adil dan pelaksanaan undang-undang yang telus menurut perlembagaan. Hal ini dapat memastikan rakyat taat setia kepada pemerintah dan akan menyokong segala usaha kerajaan.
    Seterusnya rakyat dan pemimpin perlulah mengekalkan perpaduan kaum bagi mengekalkan kedaulatan negara. Hal ini dapat direalisasikan melalui penggubalan dasar, perangkaan program dan perancangan perbelanjaan yang menjurus kepada pencapaian matlamat untuk memupuk perpaduan kaum. Rakyat juga perlu berperanan dalam mengekalkan kedaulatan negara melalui tindakan menghormati rukun negara, menggunakan bahasa kebangsaan, dan saling bekerjasama antara kaum bagi mencapai matlamat perpaduan.


(c) 

Jelaskan isu yang dihadapi dan kesan kepada negara pada masa kini [4 markah]

Jawapan
Isu yang dihadapi dan kesan kepada negara pada masa kini ialah antaranya isu segelintir rakyat yang menimbulkan provokasi dengan membangkitkan isu-isu sensitif seperti isu agama dan bangsa. Apabila isu-isu sensitif ini dimainkan maka hal ini akan menimbulkan perbalahan antara kaum dan menyebabkan situasi negara menjadi tidak tenteram. Hal ini juga dapat mendedahkan negara kepada campur tangan asing yang mampu menggugat kedaulatan negara.

4. Bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam Perlembagaan di negara kita.
(a) Apakah yang dilaksanakan bagi memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu? [2 markah]

Jawapan
Antara usaha yang telah dilaksanakan bagi memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu ialah pengenalan
Akta Bahasa Kebangsaan 1967.Akta ini juga dikenali sebagai Akta 32 yang digubal di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Akta Bahasa Kebangsaan ini mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 1971 dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran. Pengenalan akta ini telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi samaada di kementerian mahupun jabatan kerajaan. Selain itu, Bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah seperti Sekolah Alam Shah, Sekolah Seri Puteri dan Kolej Sultan Abdul Hamid.
    Bagi memartabatkan lagi kedudukan Bahasa Melayu, bilangan guru pelatih turut ditambah bahkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan bagi melaksanakan semua kursus pengajian yang terdapat di universiti itu dalam Bahasa Melayu.
    Dewan Bahasa dan Pustaka turut ditubuhkan bagi memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka ini adalah hasil resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga.

(b) Jelaskan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. 
[ 4 markah]

Jawapan
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan ialah dengan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa ilmu. Hal ini telah dilaksanakan dengan cara mengembangkan aktiviti bahasa dan sastera kerana bahasa kebangsaan merupakan medium untuk memupuk perpaduan serta mengembangkan Bahasa dan sastera Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku, majalah, risalah, seminar dan menganjurkan bengkel.
    Dewan Bahasa dan Pustaka juga tidak ketinggalan dalam melancarkan slogan " Bahasa Jiwa Bangsa untuk mengukuhkan pembinaan perpaduan masyarakat melalui bahasa.

(c) 


Penggunaan Bahasa Kebangsaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Jelaskan. 
[4 markah]

Jawapan
Penggunaan Bahasa Kebangsaan dapat memupuk perpaduan melalui penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana melalui penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, rakyat dapat memahirkan diri dan melancarkan penggunaan Bahasa Melayu dalam aktiviti seharian.
    Seterusnya penggunaan Bahasa kebangsaan dapat memupuk rasa cinta akan negara dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sesuai dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia. Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai ejen perpaduan turut dilaksanakan melalui usaha penerbitan bahan bacaan dalam bahasa kebangsaan. 













CIKGU FAZLI

"Jika engkau mampu, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak mampu menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

TAWARAN MENARIK BOOKCAFE

DAPATKAN BUKU DI BOOKCAFE