KERTAS PERCUBAAN SEJARAH SPM NEGERI SEMBILAN 2022 (SOALAN 1-4 STRUKTUR)

 


1. Rajah berikut menunjukkan sistem Pembesar Empat Lipatan yang diamalkan dalam  Kesultanan Melayu Melaka.


(a) Nyatakan jawatan X dan Y [2 markah]

X: Penghulu Bendahari
Y: Laksamana


Jawapan
Sistem pentadbiran kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dikenali sebagai Pembesar Empat Lipatan. Sultan Melaka memberikan kuasa memerintah atau mentadbir sesuatu wilayah, sungai, pulau kepada pembesar. Setiap kawasan pentadbiran ini dikenali sebagai kawasan pegangan yang mempunyai sistem pentadbiran yang tersusun dan berhierarki.
    Sultan mengetuai pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan mempunyai kuasa dalam segala aspek seperti pemerintahan, peperangan, hubungan diplomatik dan agama. Sultan dibantu oleh pembesar berempat yang terdiri daripada Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana.
    Seterusnya pentadbiran kerajaan Kesultanan Melayu Melaka terbahagi kepada dua iaitu pentadbiran pusat dan pentadbiran peringkat jajahan. Hubungan dan persefahaman yang sempurna antara sultan dengan pembesar telah mewujudkan proses pentadbiran yang sempurna dan mengelakkan sebarang tindakan sewenang-wenangnya oleh pemerintah.
    Bendahara dalam pentadbiran kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pula bertanggungjawab sebagai ketua pentadbir dan penasihat sultan dalam pelbagai hal. Penghulu bendahari menguruskan perbendaharaan secara teratur seterusnya syahbandar mengutip cukai di pelabuhan.

(c) Sebagai seorang pemimpin, apakah yang anda perlu lakukan untuk memajukan negara? [4 markah]

Jawapan
Sebagai seorang pemimpin saya akan mengambil langkah seperti mengutamakan ilmu pengetahuan untuk memajukan negara. Saya akan mewujudkan pusat-pusat ilmu pengetahuan yang menyediakan kelengkapan teknologi yang tinggi bagi memudahkan rakyat menuntut ilmu pengetahuan. Seterusnya saya akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara lain bagi tujuan menjaga kedaulatan negara dan memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Sebagai pemimpin negara saya akan memastikan perbelanjaan negara digunakan secara berhemah dan memastikan tiada unsur rasuah dalam pengurusan kewangan negara. Hal ini bagi memastikan imej negara sentiasa terpelihara.

2. Jawatankuasa HubunganAntara Kaum atau Communities Liaison Committee (CLC) ditubuhkan pada Januari 1949 yang menghimpunkan pemimpin utama masyarakat pelbagai kaum.

(a) Jelaskan objektif pembentukan CLC. [2 markah]

Jawapan
Objektif pembentukan CLC ialah mengkaji hubungan kaum secara mendalam. Hal ini bertujuan untuk membetulkan keadaan ketidakstabilan politik, ekonomi dan juga sosial. Seterusnya untuk mewujudkan pembahagian yang adil untuk semua komuniti. Hal ini memberi impak dalam mewujudkan keadaan yang harmoni dan rasa muhibah dalam kalangan penduduk.

(b) Huraikan kejayaan CLC dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan pertikaian antara kaum.

Jawapan
Kejayaan CLC dalam menyelesaikan isu yang melibatkan pertikaian antara kaum ialah kejayaan mengadakan pilihan raya. Pilihan raya telah diadakan pada peringkat majlis bandaran, majlis negeri dan Majlis Perundangan Persekutuan. Selain itu, rundingan dalam CLC telah memperakui kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mengiktiraf kepentingan sah kaum lain. Rundingan dalam CLC juga telah bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) bagi memajukan kawasan luar bandar dan meningkatkan ekonomi penduduk.
    Hasil toleransi kaum dalam rundingan CLC, mesyuarat telah bersetuju untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu dan memberikan kedudukan politik kepada kaum bukan Melayu bertujuan melahirkan semangat patriotik dan rasa bertanggungjawab kepada negara dalam kalangan kaum bukan Melayu.
    CLC juga telah menubuhkan jawatankuasa pendidikan bagi mengkaji sistem pendidikan untuk melahirkan pendidikan yang seragam dan diterima baik oleh semua kaum.

(c) Semangat kerjasama antara kaum penting dalam memastikan keharmonian di negara kita. Ulas pernyataan tersebut.

Jawapan
Semangat kerjasama antara kaum penting dalam memastikan keharmonian di negara kita kerana dapat mengeratkan perpaduan kaum dan mengelakkan konflik perkauman serta meningkatkan persefahaman antara pemimpin masyarakat berbilang kaum. Kerjasama antara kaum juga dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi secara rundingan dan mewujudkan sikap sanggup berkorban demi keselamatan negara. Semangat kerjasama membolehkan kestabilan politik tercapai dan dapat memelihara keamanan negara.

3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan bertujuan menyesuaikan peruntukan negeri baharu ke dalam perlembagaan tanpa mengubah kedudukan negeri yang sedia ada.

(a) Jelaskan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut:


Jawapan
Pindaan Perlembagaan 1963 dipinda selepas pembentukan Malaysia.  Pindaan yang dibuat ini memasukkan klausa baharu pada bahagian tertentu bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa. Terdapat tiga perkara utama dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan. Terdapat pindaan dalam struktur Mahkamah Atasan mengikut struktur Mahkamah Tinggi England. Mahkamah dibahagikan kepada Mahkamah Atasan dengan Rayuan. Mahkamah Persekutuan/ Mahkamah Atasan diwujudkan apabila wujudnya pembentukan Malaysia.
    Terdapat 3 buah mahkamah atasan diwujudkan bertempat di Persekutuan  Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah serta Singapura. Mahkamah Persekutuan mendengar mana-mana persoalan perlembagaan dan pertikaian antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri . 
    Mahkamah Tinggi Borneo telah dibentuk bagi menguruskan soal kehakiman di Sarawak dan Sabah. Ketua Hakim Borneo diwujudkan dan berpusat di Kuching Sarawak. Jawatan ini diubah kepada Ketua Hakim Sarawak dan Sabah. Sarawak dan Sabah diketuai Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertua Negeri perlulah mengikut nasihat Majlis Tertinggi. Di Sabah pula, Yang di-Pertua Negeri perlu mengikut nasihat Kabinet Negeri.

(ii) Pindaan Perlembagaan 1965 [ 3 markah]

Jawapan
Pindaan Perlembagaan 1965 merangkumi tindakan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj membawa usul pindaan Singapura di Parlimen dan parlimen telah meluluskan membolehkan Singapura membolehkan Singapura keluar dari Malaysia. Semua perkara berkaitan dengan Singapura dimansuhkan dalam perlembagaan Malaysia merangkumi urusan imigresen, kewangan, hubungan luar negara dan pertahanan.

(b) Pada pandangan anda, apakah kesan sekiranya rakyat Malaysia tidak menghormati perlembagaan negara? [4 markah]

Jawapan
Pada pandangan saya, kesan sekiranya rakyat Malaysia tidak menghormati perlembagaan negara ialah negara tidak akan aman dan berlakunya pergaduhan dalam kalangan rakyat. Seterusnya  keselamatan rakyat akan terancam dan menggugat kedaulatan negara. Imej negara turut akan tercemar sekiranya rakyat tidak menghormati perlembagaan.

4. Maklumat berikut berkaitan Dasar Pembangunan Nasional 

(a) Mengapakah dasar tersebut dilaksanakan [2 markah]

Jawapan
Dasar tersebut dilaksanakan untuk mencapai perpaduan negara melalui pengagihan kekayaan dan pembangunan yang seimbang antara negeri. Seterusnya DPN membolehkan pembangunan yang seimbang antara bandar dengan luar bandar yang dilaksanakan melalui rancangan Malaysia Keenam dan Ketujuh. 
    DPN dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan memperkukuh kestabilan politik dan sosial negara. Hal ini secara tidak langsung dapat mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. 

(b) Jelasakan strategi DPN. [4 markah]

Jawapan
Strategi DPN dalam bidang ekonomi ialah melibatkan penglibatan aktif pihak swasta dalam pembangunan ekonomi. Dasar Pembangunan Nasional juga memfokuskan program penanaman semula dan penggunaan sains dan teknologi bagi meningkatkan pemilikan saham bumiputera.
    Dalam bidang sosial, DPN memberikan insentif serta kemudahan pendidikan bagi memajukan masyarakat miskin tanpa mengira kaum. Selain itu, DPN turut mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin dan progresif.
        DPN juga memberi penekanan dalam menyediakan kemudahan fizikal dan alam sekitar dengan menyediakan dan menambah baik kemudahan asas. DPN juga bertanggungjawab memastikan pembangunan mapan tanpa mengabaikan alam sekitar.

(c) Penglibatan golongan belia dalam pembangunan negara dapat memacu kemajuan masa hadapan, Bincangkan. [4 markah]

Jawapan
Penglibatan golongan belia dalam pembangunan negara dapat memacu kemajuan masa hadapan kerana dapat menggalakkan perkembangan ekonomi. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik kemasukan pelabur sekaligus meningkatkan pendapatan negara.
    Penglibatan golongan belia juga dapat memastikan kestabilan politik negara terjamin dan dapat memastikan pentadbiran negara berjalan lancar kerana adanya kesepakatan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Keamanan negara dapat dikecapai apabila dasar-dasar negara dapat dilaksanakan dengan jayanya sekaligus menjamin kedaulatan negara agar sentiasa kekal terpelihara.
 





















CIKGU FAZLI

"Jika engkau mampu, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak mampu menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

TAWARAN MENARIK BOOKCAFE

DAPATKAN BUKU DI BOOKCAFE