KERTAS PERCUBAAN SEJARAH SPM NEGERI MELAKA 2022 (SOALAN 1-4 STRUKTUR)

 



1. Kebijaksanaan pemerintah Thailand telah berjaya mempertahankan negaranya daripada dijajah oleh kuasa asing.[2 markah]

Jawapan
(a) Senaraikan dua orang Raja Thailand yang berjaya mengekalkan kedaulatan Thailand.
(i) Raja Mongkut
(ii)Raja Chulalongkorn

(b) Jelaskan kepentingan memiliki pemimpin yang berwibawa. [4 markah]

Jawapan
Kepentingan memiliki pemimpin yang berwibawa ialah pentadbiran negara akan berjalan lancar. Hal ini akan meningkatkan imej negara seterusnya dapat menjaga kedaulatan negara. Pemimpin yang berwibawa juga dapat meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
    Pemimpin yang berwibawa juga dapat memastikan keselamatan negara terjamin dan meningkatkan hubungan diplomasi dengan negara lain. Pemimpin yang berwibawa sentiasa peka dan mendengar masalah rakyat bagi membentuk sebuah negara yang maju. Akhir sekali pemimpin yang berwibawa akan mengutamakan pendidikan dalam kalangan rakyat.

(c) Apakah iktibar yang boleh dipelajari daripada gerakan nasionalisme di Thailand? [ 4 markah]

Jawapan
Iktibar yang boleh dipelajari daripada gerakan nasionalisme di Thailand ialah kesedaran semangat kebangsaan bermula di peringkat pemerintah. Rakyat perlulah berusaha untuk mengekalkan kemerdekaan negara dan sanggup melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. 
    Selain itu, perpaduan memainkan peranan penting dalam sesuatu perjuangan dan kita perlulah berusaha untuk mewujudkan jati diri dan bersikap terbuka dalam menerima dan melakukan pembaharuan. Hal ini penting bagi membolehkan pemodenan pentadbiran dilaksanakan dengan jayanya di Thailand.

2. Pada 8 Mac 1956, setelah mendapat persetujuan Raja-raja Melayu, Kerajaan British mengumumkan pembentukan Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu.
(a) Nyatakan tugas Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu?

Jawapan
(i) Meminta cadangan daripada penduduk secara bertulis atau lisan
(ii) Menerima memorandum bertulis daripada pelbagai pihak untuk diteliti.
(iii) Meneliti kedudukan perlembagaan bagi negeri dalam Persekutuan, mengadap Raja-raja Melayu, Menteri Besar, Penasihat British dan pegawai British.
(iv) Bermesyuarat dan melawat negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat

(b) Jelaskan kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dalam aspek berikut

(i) Kewarganegaraan [2 markah]

Jawapan
Kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dalam aspek kewarganegaraan ialah orang yang dilahirkan dalam Persekutuan pada atau selepas merdeka akan menjadi warganegara. Kewarganegaraan diperoleh melalui penguatkuasaan undang-undang, memohon didaftarkan sebagai rakyat dan naturalisasi.

(ii) Kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan kaum lain. [2 markah]

Jawapan
Perjanjian persekutuan menjaga kedudukan orang Melayu dan kepentingan kaum lain. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu mengambil kira status orang Melayu sebagai rakyat asal Tanah Melayu dan hak masyarakat lain tetap dipelihara dan dilindungi.

(c) Petikan menjelaskan kepentingan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa pada hari ini.

Mengapakah kontrak sosial tersebut perlu dipelihara dan dipertahankan? [4 markah]

Jawapan
Kontrak sosial tersebut perlu dipelihara dan dipertahankan bagi mewujudkan keharmonian kaum supaya tidak berlaku perselisihan, wujudnya perasaan saling memahami dan hormat-menghormati antara kaum. Seterusnya kontrak sosial dapat mengekalkan kesejahteraan negara. Hal ini penting bagi mengekalkan keamanan negara dan menjamin perpaduan kaum yang kukuh bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negara.

3. Perlembagaan merupakan dokumen undang-undang bertulis yang menjadi teras pada sistem pemerintahan negara.
(a) Nyatakan dua undang-undang bertulis yang terdapat di negeri-negeri Melayu [2 markah]

Jawapan
(i) Hukum Kanun Pahang
(ii) Undang-undang Kedah
(iii) Undang-undang Johor
(iv) Undang-undang 99 Perak

(b) Terangkan ciri moden dalam Perlembagaan Persekutuan. [4 markah]

Jawapan
Ciri moden dalam Perlembagaan Persekutuan ialah kerajaan persekutuan mewujudkan satu sistem Kerajaan Persekutuan. Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menyerankan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri diberi kuasa dalam bidang tertentu. Apabila Malaysia dibentuk, Sarawak dan Sabah diberi beberapa autonomi.
    Sistem Demokrasi Berparlimen telah diperkenalkan dalam sistem pilihanraya 1955 bertujuan memberikan kebebasan rakyat memilih pemimpin. Rakyat berhak menentukan kerajaan yang memerintah melalui Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertanggungjawab menjalankan Pilihan Raya Persekutuan atau negeri. Pilihan Raya Persekutuan bagi memilih wakil membentuk Kerajaan Persekutuan manakala pilihan raya negeri memilih wakil untuk membentuk Kerajaan Negeri.
    Kewarganegaraan Persekutuan mula diperkenalkan pada tahun 1948, melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum itu tidak terdapat satu kewarganegaraan yang sama bagi seluruh negara. Rakyat dikategorikan sebagai rakyat raja manakala penduduk yang dilahirkan di Melaka dan Pulau Pinang mendapat kerakyatan British. Kemerdekaan Tanah Melayu dan Pembentukan Malaysia telah mewujudkan taraf kewarganegaraan yang sama kepada rakyatnya.

(c) Jelaskan kesan sekiranya rakyat tidak patuh kepada undang-undang. [4 markah]

Jawapan
Kesan sekiranya rakyat tidak patuh kepada undang-undang ialah politik negara tidak akan stabil. Hal ini akan menyebabkan negara tidak aman dan ekonomi negara akan merosot. Selain itu imej negara akan merosot sekaligus menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di negara kita. Hal ini akan memberi impak kepada terbantutnya usaha pembangunan ekonomi dan menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat akan meningkat.

4. Maklumat berikut berkaitan ideologi negara kita

 (a) Apakah matlamat Rukun Negara diperkenalkan? [2 markah]

Jawapan
Matlamat Rukun Negara diperkenalkan ialah untuk mewujudkan negara yang bersatu. Selain itu untuk membina satu masyarakat yang adil dan melahirkan masyarakat yang progresif. Rukun Negara juga bertujuan bagi menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai bagi memelihara hidup masyarakat yang demokratik.

(b) Bagaimanakah matlamat di (a) dapat dicapai? [4 markah]

Jawapan
Matlamat di (a) dapat dicapai dengan menyemai kepercayaan kepada Tuhan. Hai ini dapat direalisasikan dengan menjadikan agama sebagai panduan hidup bagi membentuk keperibadian yang baik. Seterusnya melalui kesetiaan kepada raja dan negara. Hal ini dapat dilaksanakan dengan menghormati institusi beraja dan berani mempertahankan negara.
    Matlamat Rukun Negara juga dapat dicapai dengan memupuk semangat patriotisme yang teguh dan menghormati keluhuran perlembagaan.

(c) 
Kepercayaan Kepada Tuhan

Mengapakah prinsip tersebut penting? [4 markah]

Jawapan
Prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan dapat melahirkan rakyat yang menghargai perpaduan kaum di negara ini. Hal ini kerana dengan mengamalkan kepercayaan kepada Tuhan dapat mengelakkan pergaduhan kaum dan membudayakan sikap saling menghormati antara kaum demi mengekalkan keamanan negara. Seterusnya prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan penting untuk membentuk keperibadian yang baik dan sentiasa mengamalkan sikap bersopan santun dalam menjalinkan hubungan baik dalam masyarakat.
        




    















CIKGU FAZLI

"Jika engkau mampu, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak mampu menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

TAWARAN MENARIK BOOKCAFE

DAPATKAN BUKU DI BOOKCAFE