KERTAS PERCUBAAN SEJARAH SPM NEGERI SELANGOR SET 1 2022 (SOALAN 1-4 STRUKTUR)



1. Revolusi Amerika yang berlaku pada tahun 1776 merupakan perjuangan untuk memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing.

(a) (i) Jelaskan faktor berlakunya revolusi tersebut? [2 markah]

Jawapan
Faktor berlakunya Revolusi Amerika pada tahun 1776 ialah untuk menentang penjajahan British. Hal ini kerana British tidak melindungi hak penduduk Amerika yang merupakan sebahagian daripada Empayar British. Seterusnya Amerika menentang akta memungut cukai contohnya pengenalan Akta Pelayaran, Akta Gula, Akta Setem dan Akta teh. Hal ini demikian kerana tiada wakil Amerika dalam Parlimen British.


(a) (ii) Bagaimanakah peperangan tersebut tercetus? [2 markah]

Jawapan
Peperangan tersebut tercetus dengan tindakan pemimpin di Tanah Jajahan menubuhkan kongres yang diketuai oleh George Washington. Pimpinan Amerika telah mengisytiharkan perang terhadap British dan mula memperjuangkan kemerdekaan Amerika. Kongres telah meluluskan Perisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson.

(b) Nyatakan kesan daripada peristiwa di 1(a)(ii) [ 2 markah]

Jawapan
Kesan daripada peristiwa di 1(a)(ii) ialah British terpaksa mengakui kemerdekaan Amerika. 13 buah bekas jajahan telah digabungkan dan diberikan nama baharu iaitu Amerika Syarikat. Sistem pemerintahan demokrasi telah diperkenalkan di Amerika.

(c) Apakah iktibar yang diperoleh daripada peristiwa revolusi yang berlaku di Barat? [4 markah]

Jawapan
Iktibar yang diperoleh daripada peristiwa revolusi yang berlaku di Barat ialah kita perlulah berwaspada terhadap kuasa asing dan berani untuk mempertahankan hak yang diperjuangkan. Hal ini perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Revolusi yang berlaku di barat mengajar kita agar sanggup mempertahankan negara daripada ancaman luar melalui kekuatan perpaduan dan mementingkan menuntut ilmu pengetahuan. Impaknya kebajikan rakyat akan sentiasa terpelihara.

2. Pada tahun 1951, Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British mengumumkan penubuhan Sistem Ahli.

(a) Nyatakan ciri-ciri Sistem Ahli

Jawapan
Ciri-ciri Sistem Ahli ialah setiap ahli bertaraf menteri. Ahli bertanggungjawab menjaga portfolio yang mengandungi jabatan dan agensi kerajaan. Ahli dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Dalam Sistem Ahli, Ahli bertanggungjawab mencadangkan undang-undang yang berkaitan dengan jabatannya untuk dibentangkan dalam MPP. Sistem Ahli ini merupakan satu bentuk sistem kabinet bayangan yang meletakkan ahli di bawah kuasa Pesuruhjaya Tinggi British.

(b) Sistem Ahli merupakan proses penting ke arah kemerdekaan. Bincangkan [3 markah]

Jawapan
Sistem Ahli merupakan proses penting ke arah kemerdekaan kerana menyediakan asas penting untuk melatih orang tempatan ke arah berkerajaan sendiri. Hal ini demikian kerana Sistem Ahli memberi pendedahan kepada penduduk tempatan untuk belajar mentadbir dan menerajui kerajaan. Sistem Ahli juga merupakan proses memupuk perpaduan dalam kalangan pemimpin negara kerana ahlinya terdiri daripada gabungan pemimpin pelbagai kaum. Akhir sekali kewujudan Sistem Ahli amat penting dalam menentukan kemerdekaan yang diperoleh mendapat sokongan seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu.

(c) Sekiranya anda merupakan pemimpin tempatan, apakah cadangan anda untuk mengukuhkan Sistem Ahli sebagai persediaan ke arah berkerajaan sendiri? [4 markah]

Jawapan
Sekiranya saya seorang pemimpin, cadangan saya untuk mengukuhkan Sistem Ahli sebagai persediaan ke arah berkerajaan sendiri ialah memastikan prosedur pelaksanaan Sistem Ahli teratur dan telus. Seterusnya memastikan keanggotaan terdiri daripada pelbagai kaum dan memastikan setiap ahli menjaga portfolio tertentu dengan penuh tanggungjawab. Saya juga akan memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi.
    Bagi mengukuhkan lagi Sistem Ahli saya akan memastikan wujudnya kerjasama yang kuat antara kaum untuk melicinkan pentadbiran negara serta menambah jumlah perwakilan yang terdiri daripada penduduk tempatan. Saya juga akan mencadangkan undang-undang yang melindungi kepentingan penduduk tempatan dan meletakkan Sistem Ahli di bawah kuasa Raja-raja Melayu.

3.Undang-undang berikut yang menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan 

(a) Nyatakan ciri-ciri undang-undang Negeri Melayu.[2 markah]

Jawapan
Ciri-ciri undang-undang negeri Melayu ialah raja sebagai pemerintah. Rakyat berperanan memberikan ketaatsetiaan kepada raja. Undang-undang dan sistem pemerintahan ditentukan oleh raja. Terdapat dua jenis undang-undang yang dipraktikkan dalam Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Kedua-dua undang-undang bertulis ini telah mempengaruhi undang-undang bertulis di negeri Melayu yang lain seperti Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Johor dan Undang-undang 99 Perak.

(b) Terangkan undang-undang Inggeris tersebut. [4 markah]

Jawapan
Undang-undang Inggeris diperkenalkan oleh British di Negeri-negeri Selat (NNS) dan dikenali sebagai Charter of Justice. Undang-undang Inggeris ini diambil daripada undang-undang yang digubal di England dan hanya piagam terpilih yang bersesuaian dengan kegunaan Negeri-negeri Selat sahaja digunapakai seperti Charter of Justice 1807.
    Matlamat undang-undang Inggeris adalah untuk melindungi penduduk asal daripada penindasan dan ketidakadilan. Di Sarawak, terdapat The Sarawak Application of Laws Ordinance 1949 yang menggunakan The Common Law of England manakala di Sabah terdapat Sabah Application of Laws Ordinance 1951.

(c) Bagaimanakah rakyat Malaysia dapat mempertahankan perlembagaan negara kita? [4 markah]

Jawapan
Rakyat Malaysia dapat mempertahankan perlembagaan negara kita dengan menghayati dan mengamalkan prinsip rukun negara. Selain itu, rakyat Malaysia perlulah mematuhi undang-undang negara dengan menjadikan undang-undang negara sebagai panduan dalam pentadbiran. Hal ini dapat melahirkan semangat patriotisme dalam diri rakyat seterusnya memberi impak positif dalam menyatu padukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Perlembagaan negara juga dapat dipertahankan sekiranya rakyat mengelakkan dari perbincangan isu-isu sensitif dan mengamalkan semangat tolak ansur antara satu sama lain.

4. Pemisahan Singapura daripada Malaysia berlaku pada 9 Ogos 1965

(a) Jelaskan faktor politik yang membawa kepada pemisahan Singapura. [3markah]

Jawapan
Faktor politik yang membawa kepada pemisahan Singapura ialah Lee Kuan Yew tidak berpuas hati kerana peranan Singapura yang terhad dalam pentadbiran negara. Seterusnya berlaku konflik antara pemimpin PAP dengan Perikatan. Hal ini mencetuskan kempen Malaysian Malaysia oleh Lee Kuan Yew untuk bertujuan menuntut hak sama rata untuk semua kaum. Hal ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk. 

(b) Galurkan kronologi pemisahan Singapura daripada Malaysia [3 markah]

Jawapan
Kronologi pemisahan Singapura daripada Malaysia bermula pada 29 Jun 1965 setelah kegagalan rundingan Tun Abdul Razak dengan Lee Kuan Yew. Pada 1 Julai 1965, Tunku Abdul Rahman mengarahkan Tun Abdul Razak Hussein bermesyuarat untuk berbincang mengenai pemisahan. Mesyuarat dihadiri oleh Dr. Ismail Abdul Rahman, Tan Siew Sin dan V.T Sambanthan. Pada awal Ogos 1965, Mesyuarat Khas Kabinet Malaysia bersetuju dengan rancangan pemisahan. Seterusnya pada 7 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew menandatangani persetujuan Singapura keluar Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman membawa usul pemisahan Singapura ke dalam Parlimen Malaysia, Usul tersebut telah menyebabkan parlimen meluluskan undang-undang pemisahan Singapura.

(c) 
(c) Berdasarkan gambar di atas, ramalkan keadaan Malaysia sekiranya pemisahan daripada Singapura tidak berlaku. [4 markah]

Jawapan
Pada ramalan saya, sekiranya pemisahan Singapura dan Malaysia tidak berlaku ialah konflik politik antara pemimpin Perikatan dan PAP akan berterusan dan Kempen Malaysian Malaysia mungkin  menyebabkan rusuhan kaum berlaku kerana tuntutan hak sama rata oleh Singapura akan menimbulkan keresahan rakyat Malaysia. Seterusnya sekiranya pemisahan Malaysia dan Singapura tidak berlaku maka kemungkinan keselamatan rakyat di Malaysia akan terancam dan menjejaskan kestabilan negara terutamanya dalam aspek ekonomi, pertahanan dan perniagaan.

















CIKGU FAZLI

"Jika engkau mampu, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak mampu menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

TAWARAN MENARIK BOOKCAFE

DAPATKAN BUKU DI BOOKCAFE