KERTAS PERCUBAAN SEJARAH SPM TERENGGANU 2022 (SOALAN 1-4 STRUKTUR)




1-Nasionalisme di Asia Tenggara berakar umbi daripada gerakan membebaskan diri daripada penjajahan kuasa Barat seperti yang berlaku di Filipina.

(a) Namakan kuasa Barat yang menjajah Filipina [2 markah]
(i) Sepanyol
(ii) Amerika

(b) Bagaimanakah gerakan nasionalisme berlaku di Filipina? [4 markah]

Jawapan
Gerakan nasionalisme di Filipina bermula dengan gerakan propaganda yang dipimpin oleh Jose Rizal.Gerakan ini menuntut agar Filipina dijadikan wilayah Sepanyol. Selain itu menuntut agar rakyat Filipina mempunyai hak yang sama seperti bangsa Sepanyol. Jose Rizal telah menubuhkan Liga Filipina bagi mendesak Sepanyol melakukan perubahan politik, ekonomi dan sosial. Namun begitu, kegagalan gerakan yang dipelopori oleh Jose Rizal telah mencetuskan idea nasionalisme yang lebih radikal. Andres Bonifacio telah menubuhkan Katipunan dengan tujuan memperoleh kemerdekaan melalui revolusi. Andres Bonifacio telah menyebarkan idea revolusi melalui media Kalayan. Namun demikian perjuangan Aguilnaldo dan Andres Bonifacio melancarkan revolusi untuk menyingkirkan Sepanyol telah menemui kegagalan. Aguilnaldo telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan telah berjaya menghalau Sepanyol. Namun demikian perisytiharan kemerdekaan Filipina oleh Aguilnaldo tidak disahkan oleh Amerika Syarikat. Seterusnya bermulalah penguasaan Amerika Syarikat di Filipina. Sergio Osmena telah menggunakan strategi diplomasi melalui parti politik sederhana. Hal ini membolehkan Sergio Osmena pemimpin parti Nasionalis dilantik menganggotai Dewan Perhimpunan. Gerakan menuntut kemerdekaan di Filipina ini telah diteruskan sehingga perang Dunia Kedua.

(c) Nasionalisme merupakan satu gerakan yang meletakkan kesetiaan seseorang hanya kepada negara atau bangsanya. Sumber: Hans Kohn, 1961,The Idea of Nationalism.New York: Macmillan Pub.Co
Mengapakah semangat setia kepada negara dan bangsa dianggap penting. [4 markah]

Jawapan
Semangat setia kepada negara dan bangsa dianggap penting kerana dapat menamkan perasaan cinta akan negara.Hal ini akan menimbulkan perasaan sanggup berkorban demi negara.Kesannya kedaulatan negara dapat dipelihara daripada campur tangan kuasa asing.
    Setia kepada negara juga merupakan langkah untuk memajukan ekonomi negara.Semangat setia kepada negara ini secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan.

2 (a) Selepas Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955, beberapa perubahan berlaku secara berperingkat kepada keanggotaan dan peranan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP). 

Nyatakan keanggotaan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) 1955. [2 markah]
Jawapan
Keanggotaan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) 1955 ialah ahli yang dipilih melalui pilihan raya ialah seramai 52 orang. Ahli lantikan mewakili kumpulan yang berkepentingan seperti dalam bidang keusahawanan, perlombongan dan pertanian ialah sebanyak 35 orang. 11orang Menteri Besar dilantik bagi mewakili setiap negeri. Bagi negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka dua orang ahli dilantik. Jumlah keanggotaan ahli ialah sebanyak 100 orang.

(b) Jelaskan kesan penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) 1955 terhadap pentadbiran negara. [4 markah]

Jawapan
Kesan penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) 1955 terhadap pentadbiran negara ialah Kerajaan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Seterusnya tugas pentadbiran Tanah Melayu telah diambil alih daripada Pesuruhjaya Tinggi British. Proses pertukaran dan pembaharuan dalam pentadbiran berlaku secara berperingkat dan mengambil masa. Pesuruhjaya Tinggi British masih memegang tampuk kepimpinan peringkat atasan dalam menentukan hala tuju negara. Kuasa pegawai British beransur-ansur dipindahkan kepada rakyat tempatan. Terdapat pegawai British yang berperanan sebagai penyelia atau penasihat bidang keselamatan. Sistem Ahli dimansuhkan. Keanggotaan MPP menyaksikan perkembangan penting amalan pentadbiran demokrasi. Menggambarkan kejayaan Kerajaan Persekutuan yang dibentuk dipimpin oleh rakyat tempatan. Ahli MPP dipilih oleh rakyat.

(c) Sebagai rakyat, apakah harapan anda terhadap ahli Majlis Perundangan Persekutuan yang dilantik pada masa tersebut? 

Jawapan 
Harapan saya terhadap ahli Majlis Perundangan Persekutuan yang dilantik pada masa tersebut ialah  menepati janji seperti dalam pilihan raya. Hal ini kerana dapat mewujudkan hubungan erat dengan rakyat dan mengurangkan kerenah birokrasi. Harapan saya juga supaya ahli Majlis Perundangan Persekutuan yang dilantik dapat memudahkan urusan rakyat dan menjamin kestabilan politik melalui pengamalan sistem pentadbiran dan sikap yang berintegrati.


3. Rajah berikut berkaitan dengan kronologi pembentukan Sistem Persekutuan di negara kita.

(a) Senaraikan dua negeri yang membentuk Persekutuan 1896. [2 markah]

i Perak
ii Pahang
iii Selangor
iv Negeri Sembilan

(b) Jelaskan latar belakang pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957.[4 markah]
Jawapan
Latar belakang pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957 ialah Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka terbentuk pada 31 Ogos 1957. Berasaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957 bertujuan mewujudkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang kuat dan melicinkan pentadbiran negara yang berdaulat.  Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sebagai Ketua Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu 1957 ini diperkukuhkan dengan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen

(c)  Sistem Persekutuan berjaya mewujudkan pentadbiran yang kukuh dan stabil di negara kita. Buktikan. [4 markah]

Jawapan.
Sistem Persekutuan telah berjaya mewujudkan pentadbiran yang kukuh dan stabil di negara kita. Hal ini dibuktikan dengan Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembahagian kuasa dalam pentadbiran. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya pembahagian kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Contohnya hal ini direalisasikan melalui wujudnya Senarai Pusat, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Kewujudan pembahagian kuasa ini dapat mengelakkan pembolotan kuasa dan mengatasi perselisihan antara kuasa pusat dan negeri serta mengelakkan permasalahan antara kedua-dua kerajaan. Pelaksanaan sistem Persekutuan juga membolehkan Malaysia mempunyai sistem pentadbiran yang cekap dan moden .Tegasnya sistem Persekutuan dapat mewujudkan negara yang kuat dan berdaulat samaada dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial.


4. (a) Apakah yang dimaksudkan dengan Rukun Negara? [2 markah]

Jawapan
Rukun negara bermaksud ideologi yang menjadi panduan dan rujukan peradaban sesebuah negara.Rukun negara merupakan usaha kerajaan untuk menyatukan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan. Selain itu rukun negara menjadi susunan prinsip hidup masyarakat. Rukun negara mengandungi nilai kenegaraan dan norma sosial seluruh aspek politik, ekonomi, agama, budaya dan perundangan. Rukun negara turut menjadi ikrar yang perlu dihayati oleh warganegara Malaysia dan dianggap falsafah hidup rakyat Malaysia.

(b) Terangkan dua prinsip rukun negara yang anda ketahui.[4 markah]

Jawapan
Dua prinsip rukun negara yang saya ketahui ialah pertama kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini kerana agama merupakan panduan hidup seseorang dalam menjalani kehidupan yang baik. Di Malaysia agama  Islam merupakan agama rasmi tetapi kepercayaan lain boleh diamalkan.
    Seterusnya prinsip rukun negara yang kedua ialah Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Hal ini demikian kerana negara Malaysia mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dan raja juga merupakan simbol kepada penyatuan dan perpaduan rakyat berbilang bangsa.

(*Peringatan: Jika jawab fakta sahaja maka maksimum markah yang diperoleh ialah 2 markah sahaja)

(c)  Bagaimanakah prinsip-prinsip Rukun Negara yang anda jelaskan dalam 4(b) dapat dijadikan amalan seharian. [4 markah]

Jawapan
Prinsip-prinsip Rukun Negara dalam 4 (b) dapat dijadikan amalan seharian dengan mewujudkan kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini dapat dilakukan dengan menjadikan agama sebagai panduan hidup dan saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur dalam agama. Seterusnya mengamalkan kesetiaan kepada raja dan negara. Hal ini dapat direalisasikan dengan menghormati raja sebagai ketua negara serta menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi. Prinsip Keluhuran Perlembagaan juga dapat dipraktikkan dalam amalan harian melalui sikap keberanian mempertahankan negara dan menerima dan mematuhi perlembagaan negara. Rakyat yang baik juga sudah tentu akan menghormati kedaulatan undang-undang negara dengan cara mematuhi dan menghormati undang-undang negara.












CIKGU FAZLI

"Jika engkau mampu, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak mampu menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

TAWARAN MENARIK BOOKCAFE

DAPATKAN BUKU DI BOOKCAFE